MELAYARI bahtera perkahwinan tidak semudah disangka. Bergelar isteri atau suami bermakna tanggungjawab berat sudah sedia menanti. Pun begitu ramai muda mudi hari ini, hanya sibuk memikirkan persiapan majlis perkahwinan yang mahu segala-galanya dilihat sempurna.

Sehinggalah selepas berkahwin, masing-masing sibuk pula merancang membeli kediaman mahu kenderaan yang lebih besar untuk keselesaan. Tanggungjawab dan beban hidup berumah tangga ditolak ketepi.

Akibatnya kerana kurang persefahaman rumah tangga mula berkocak. Panas yang diharap sampai ke petang rupanya ditimpa hujan di tengah hari. Apabila ini berlaku siapa yang hendak disalahkan?

Mengulas mengenai fenomena ini, Kaunselor Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara LPPKN, Dr. Husna Sulaiman berkata, ramai yang melangkah ke jenjang pelamin tanpa memahami erti perkahwinan itu sendiri.

Katanya, mereka ini laksana nelayan yang turun ke laut tanpa mengetahui cuaca semasa dan tidak membawa persiapan yang cukup. Jika laut tenang, maka selamatlah mereka, jika tidak bergantung kepada nasib. Silap menimbang istana yang dibina akan musnah. Justeru, seseorang yang ingin berkahwin harus mempersiapkan diri dari pelbagai aspek.

Individu yang ingin berkahwin perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, kemampuan ekonomi, kesihatan fizikal dan mental yang berkaitan dengan perkahwinan, keibubapaan serta kekeluargaan, ujarnya.

Menerangkan lebih lanjut mengenainya, beliau berkata, perkahwinan adalah perkongsian hidup dua individu yang berlainan.

Sesuatu yang digemari oleh seseorang itu mungkin tidak disukai oleh pasangannya.

Jadi mereka yang bakal berumah tangga harus sedar bahwa ada perkara yang harus diterima dan ada perkara yg harus diubah.

Dalam erti kata lain, mereka harus bersedia untuk menerima kelebihan dan kekurangan pasangan masing-masing di samping mengubah cara hidup sendiri, ujarnya.

Beliau menegaskan, keharmonian hidup berumah tangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat.

Rumah tangga yang baik dan harmoni ini sukar diperoleh tanpa adanya kerjasama serta saling hormat menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga, ujarnya.

Sehubungan itu beliau menggesa para suami supaya memahami sebenar tabiat dan cita rasa isteri dalam kehidupan seharian, begitu juga sebaliknya.

Kata Husna, suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumah tangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contoh-contoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya.

Di dalam rumah tangga katanya, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini serta mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumah tangga yang memerlukan kasih sayang, kerjasama dan saling bantu membantu.

Manakala bagi pihak isteri, mereka perlu memainkan peranan untuk menjadi ibu terbaik bagi melahirkan anak-anak soleh dalam membentuk keluarga bahagia.

Katanya, kebahagiaan sebuah rumah tangga bukan dinilai dari mata kasar tetapi dari perasaan sayang menyayangi dan persefahaman antara satu sama lain.

Bukan sekadar rupa sahaja di utamakan tapi sikap bertolak ansur dan faham memahami itu lebih penting.

Peranan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri itu penting bagi mewujudkan keluarga bahagia, ujarnya.

Menjelaskan perkara tersebut secara terperinci, beliau berkata, sebelum mendirikan rumah tangga, pemilihan pasangan yang bersesuaian perlu dititik beratkan agar tiada masalah yang timbul setelah bergelar suami isteri.

Dari konteks budaya Islam sendiri, suami isteri perlu sefahaman dalam mencapai keputusan.

Katanya, pasangan juga perlu bersyukur dari semua segi termasuklah pelaksanaan rumah tangga yang mesti didahulukan dengan al-Quran supaya perkahwinan itu diberkati dan berkekalan selamanya.

Malah kata Husna, setiap pasangan perlu membataskan antara adat dan agama dalam meladeni rumah tangga.

Sering kali kita mendengar bila seorang isteri itu melebihkan adat dari adab dan ini bercanggah dengan syariat Islam, katanya.

Menurutnya, rahsia penting dalam mengekalkan kerukunan dan keharmonian rumah tangga ialah sikap bertolak ansur.

Selain bertolak ansur, seorang isteri juga perlu sentiasa menjaga penampilan diri di hadapan suami. Jangan jadikan jadual kerja tidak menentu sebagai alasan dan sebagai seorang isteri yang taat kepada suaminya perlu mencuba sedaya upaya bagi memastikan keperluan suami sentiasa terjaga, tegasnya.

Kata beliau lagi, dalam menyemarakkan lagi kerukunan rumah tangga, soal kasih sayang juga tidak harus dipandang sepi oleh isteri yang berkarier.

Ini penting kerana tanpa belaian seorang isteri, keharmonian rumah tangga tidak akan dapat dicapai, katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Sumber: Youtube Channel RB