Walaupun kita duduk dalam negara yang majoritinya Islam - sekiranya kita sebutkan tentang amalan orang Islam menggunakan air kencing unta sebagai penawar kesihatan, pasti ramai yang akan ternganga mendengarnya bukan?

Ini kerana amalan tersebut sangat jarang didengari berlaku di negara kita, kerana halangan terbesarnya adalah di negara kita; kita tak mampu bela unta. Bagaimanapun di negara-negara yang beriklim panas dan berpadang pasir, unta memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan orang ramai.

Begitulah juga dengan kreativiti masyarakat Arab khasnya dalam mencari manfaat berkenaan tentang kencing unta. Tetapi apa yang perlu kita perhalusi dalam artikel ini; benarkah kencing unta mempunyai banyak khasiatnya?

Amalan kencing unta menurut Islam

Umat Islam di negara-negara Arab sehingga kini, masih lagi mengamalkan tabiat minum air kencing unta yang dicampurkan dengan susu unta sebagai salah satu kaedah penawar kepada kesihatan badan. Dari mana datangnya kepercayaan ini? Hadis!

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas ra. bahawa Rasulullah saw. bersabda;

Bahawa datang sekumpulan badawi dari puak ‘Urainah kepada Nabi SAW dan memeluk islam. Kemudian kerana terkesan dengan suhu madinah, kulit mereka menjadi kekuningan dan kembung perut mereka. Lalu Nabi mengirimkan kepada mereka susu unta dan mengarahkan mereka untuk minum susu dan air kencing unta sehingga mereka sembuh. - Riwayat al-Nasa’i (4035)

Walaupun terdapat khilaf daripada pandangan beberapa mazhab berkenaan isu penggunaan najis sebagai penawar kepada sesuatu penyakit, secara amnya hadis yang diriwayatkan itu secara spesifik menegaskan penggunaan air kencing unta adalah dibolehkan.



Pendapat ini dilihat sebagai pendapat yang lebih kuat berbanding dengan pendapat yang tidak membenarkannya dilakukan. Bagaimanapun, penggunaan air kencing unta sebagai penawar/ubat hanyalah diharuskan dalam konteks air kencing itu diminum sebagai ubat dan telah mendapat nasihat yang betul daripada pakar perubatan.

Kajian saintifik yang menyokong pendapat ini

Dalam kajian saintifik, sudah banyak kes di mana penggunaan air kencing direkodkan mempunyai kesan positif ke atas penyakit-penyakit yang dihadapi. Kepercayaan masyarakat Arab sejak zaman dahulu percaya air kencing unta mampu mengubati dan merawat banyak aspek kehidupan; daripada memperbaiki helaian rambut wanita, memperkuatkan gigi dan gusi, merawat kecederaan, gigitan ular, sakit perut dan bermacam lagi penyakit lain.

Benarkah dakwaan ini? Benar. Kajian ke atas kencing unta mendapati air kencing tersebut mengandungi bahan yang memperkuatkan sistem imuniasasi seseorang tanpa mempunyai sebarang kesan toksik pada pengambilnya. Satu eksperimen menggunakan tikus mendapati tikus yang sengaja dijangkitkan dengan bakteria Escherichia coli pulih selepas menerima rawatan kencing unta - tanpa sebarang kesan sampingan.

Kencing unta dilaporkan mempunyai kesan yang sangat efektif dalam merawat jangkitan fungus atau kulat, mikrob, mikroorganisma dan patogen yang mampu menyebabkan jangkitan pada kita. Sifat anti mikrobakteria yang ada pada kencing unta, adalah disebabkan oleh kandungan garamnya yang tinggi bersifat alkali, mempunyai bahan-bahan asli yang terbentuk hasil daripada tabiat pemakanan seekor unta.

Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Sains Biologi, Universiti Raja Abdul Aziz mendapati di antara semua larutan kencing haiwan ternakan selain unta, seperti lembu dan kambing - hanya kencing unta mempunyai sifat beralkali disebabkan kandungan potassium, magnesium dan protein, selain mempunyai kandungan asid uric, sodium dan kreatin yang rendah.

Bagaimana pula dengan pandangan sarjana barat?

Tabiat meminum air kencing unta dikritik oleh Badan Kesihatan Sedunia atau WHO pada tahun 2015, sebagai punca penyebab utama penyakit MERS atau Middle East Respiratory Syndrome Contravirus,sejenis penyakit yang bermula dengan batuk-batuk serta kesukaran bernafas - tetapi akan berlanjutan sehingga menyebabkan pneumonia dan kegagalan buah pinggan seandainya tidak dirawat.

Kajian yang dilakukan dalam mengenalpasti punca sebenar penyakit MERS mendapati bahawa virus penyebab penyakit itu, dipercayai datang daripada unta-unta yang ada di sekitar Arab Saudi, khasnya unta berusia muda.

Pendapat ini mula dipandang serius selepas kes pertama melibatkan penyakit itu berlaku melibatkan seorang lelaki yang memiliki 4 ekor unta, sebagai haiwan peliharaannya. Akibat daripada penemuan itu, kajian terhadap unta yang ada dijalankan dan penyelidik mendapati unta menjadi pembawa kepada virus tersebut, namun unta sendiri didapati tidak terkesan dengan sebarang jangkitan.

Bagaimanapun, kumpulan penyelidik menjelaskan penemuan mereka hanyalah satu penemuan peringkat awal dan belum dapat membuktikan unta adalah penyebab kepada jangkitan virus MERS kepada manusia. Kajian itu hanya menunjukkan unta adalah pembawa virus tersebut.

Jadi boleh atau tidak minum air kencing unta sebagai ubat?

Untuk memberikan anda satu kesimpulan semata-mata, sangat sukar. Ini kerana setiap pihak mempunyai khilaf dan percanggahan dalam menyokong atau membangkang isu yang kita bincangkan ini.

Bagaimanapun, penulis bersetuju untuk mengambil jalan tengah adalah lebih mudah - berdasarkan kepada pendapat beberapa orang Mufti; sekiranya ada keperluan tak salah untuk kita berikhtiar mencubanya.

Tetapi pastikan ada keperluannya!

Ini kerana daripada perspektif agama Islam sendiri, ada disebutkan bahawa Rasulullah saw bersabda;

Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu dari apa yang diharamkan ke atas kamu - Riwayat al-Baihaqi (1209)

Pendapat Imam Shafie juga membolehkan perubatan menggunakan najis dengan hanya kekangan atau larangan dijelaskan hanya melibatkan perkara yang memabukkan. Jadi, biarkanlah kita ada pilihan bila datangnya keperluan.