Mula terkenal menerusi YouTube dan Facebook, nama Ustaz Mad Kecik semakin mendapat perhatian warganet terutamanya warga muda.

Bukan sahaja bakatnya yang bersahaja ketika menyampaikan ceramah bahkan fizikalnya yang keldil dan dianggap comel menjadi tarikan orang ramai memenuhi setiap kuliahnya.

Ustaz Mad Kecik atau nama sebenarnya Muhammad Abdullah, 26, merupakan bekas pelajar di Madrasah Darul Muhajirin Bukit Jong. Bermula daripada situ, dia sering dipelawa menyampaikan kuliah bagi menggantikan ustaz atau penceramah.
 
“Sejak itu, saya menerima jemputan untuk menyampaikan ceramah bukan setakat di Terengganu malah Kedah, Perak, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Muhammad sebelum ini dilahirkan normal namun, tumbesarannya tidak seperti kanak-kanak seusia akibat diserang penyakit ketika berusia setahun hingga lima tahun.

Malah dia positif dengan setiap kekurangannya malah tidak menganggap saiznya yang kecil sebagai penghalang baginya untuk terus menyampaikan dakwah.
 
“Saya tidak tersinggung dengan kata-kata sinis itu. Saya berceramah bukan kerana saya bagus atau berilmu tinggi tetapi saya berpegang kepada konsep sampaikan ilmu walau hanya satu ayat.

“Itu menjadi pegangan saya. Saya tahu masih banyak yang perlu dipelajari namun tidak salah sekiranya saya berkongsi ilmu yang ada kepada masyarakat,” katanya yang juga bekas penuntut Kolej Universiti Darul Quran Islamiah, Manir.

Sumber: Harian Metro