Biasanya kita seringkali mendengar jika terlupa membaca qunut kita hendaklah melakukan sujud sahwi. Sebenarnya ada beberapa perkara lagi yang memerlukan kita melakukan sujud sahwi.

Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, di mana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِـيْ صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثًا أَوْ أَرْبَعًـا؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَـا اسْتَيْقَنَ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَـانَ صَلَّى خَمْسًا شَفِعْنَ لَهُ صَلاَتُهُ، وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا ِلأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيْمًا لِلشَّيْطَانِ.

Maksudnya:

Jika salah seorang di antara kamu ragu dalam solatnya sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dia lakukan, tiga rakaat atau empat rakaat. Maka hendaklah ia tepis keraguan itu dan ikutilah yang dia yakini. Setelah itu, hendaklah dia sujud dua kali sebelum salam. Jika ternyata dia mengerjakan lima rakaat, maka dia telah melengkapkan solatnya. Namun, jika dia mengerjakan empat rakaat, maka dua sujud tadi adalah penghi naan bagi syaitan. (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i RA)

HUKUM SUJUD SAHWI

Hukum sujud sahwi adalah sunat. Tidak batal solat seseorang jika tidak dilakukannya.

CARA SUJUD SAHWI

Walaupun hukum sujud sahwi adalah sunat, seeloknya kita lakukannya apabila diperlukan. Untuk melakukan sujud sahwi tidaklah susah. Caranya adalah seperti di bawah:

1. NIAT

Perlu diniatkan terlebih dahulu pada penghujung rakaat terakhir. Sesudah membaca tahiyat akhir yakni sebelum memberi salam, takbir dan sujud dengan lafaz sujud sahwi.

Jika kita sudah berniat mahu melakukan sujud sahwi, semasa tahiyat akhir, seeloknya duduklah dalam keadaan duduk antara dua sujud.

2. SUJUD

Semasa sujud baca lafaz seperti di bawah sebanyak 3 kali iaitu:

سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ

Bacaan Sujud Sahwi Rumi:

Subhaana Man Laa Yanaamu Walaa Yas Huu

Maksudnya:

Maha suci Allah, zat yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa

3. DUDUK ANTARA DUA SUJUD

Selepas selesai sujud sahwi yang pertama, bangun daripada sujud dan duduk di antara dua sujud, sama seperti yang biasa kita lakukan dalam solat. Bacaannya juga adalah sama seperti duduk antara dua sujud.

4. SUJUD YANG KEDUA

Lakukan sujud sahwi bagi kali kedua. Setelah selesai, duduk dalam keadaan tahiyat akhir dan seterusnya memberi salam seperti biasa (ketika ini anda tidak perlu bacaan tahiyat akhir lagi).

BAGAIMANA JIKA TERTINGGAL RUKUN SOLAT?

Kita dianjurkan melakukan sujud sahwi apabila terlupa sesuatu perbuatan sunat ab’adh seperti doa qunut atau tahiyat awal yang tidak termasuk dalam 13 rukun solat.

Aapakah yang patut kita lakukan jika kita terlupa melakukan perkara yang termasuk dalam perkara rukun? Contohnya terlupa membaca al-fatihah atau rukuk.

Kita tidak boleh menggantikan perkara yang tertinggal tadi dengan sujud sahwi. Contohnya, kita terlupa membaca al-fatihah pada rakaat ketiga dalam solat maghrib. Kita perlu membaca al-fatihah yang tertinggal tadi dengan cara mengulang rakaat ketiga secara keseluruhannya (kerana rakaat ketiga tadi tidak dikira sempurna). Sebelum mengakhiri solat, barulah kita melakukan sujud sahwi.

Semoga info ini memberi manfaat kepada kita semua. Jangan lupa komen dan share kisah ini untuk berkongsian manfaat bersama orang lain. Terima kasih.

Sumber: myinfomaya