INDONESIA- Seorang lelaki warga emas yang tinggal di dalam gua selama 30 tahun telah dipindahkan oleh pihak polis ke pusat kebajikan warga emas Khusnul Khotimah di Desa Wajak.

Dilaporkan, lelaki 72 tahun tersebut telah tinggal di sebuah gua di Malang selama 30 tahun selepas bercerai dengan isterinya.

Menurut laporan, kini dia sedang menerima rawatan di sebuah pusat kebajikan warga emas Khusnul Khotimah di Desa Wajak.

“Saya berasal dari Semarang dan semasa berkahwin, saya dikurniakan tujuh cahaya mata dan tinggal bersama keluarga.


“Namun, sejak saya bercerai, hubungan saya dengan keluarga mulai renggang dan kerana rasa terpinggir, saya tinggal di dalam gua di Lawang,” katanya.

Menurutnya, bekas isteri dan anak-anaknya masih hidup dan kini tinggal di Sangosari, Malang.

Dia memaklumkan bahawa, tiada seorang pun ahli keluarganya yang datang melawatnya ketika tinggal di dalam gua.

“Sepanjang saya tinggal di gua, saya hanya makan makanan yang disumbangkan oleh penduduk sekitar atau mencari di kawasan terdekat.”

“Sekarang, saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana membawa saya keluar dari gua itu dan tinggal di pusat kebajikan yang lebih selesa,” ujarnya.

Menurut anak bongsunya, bapanya mula tinggal di dalam gua sejak dia masih bayi.

“Bapa meninggalkan kami anak-beranak begitu sahaja dan membawa diri. Selain ibu saya juga sering dipukul ketika berkahwin dengan bapa.”

“Mungkin sebab itu ibu meninggalkan bapa kerana tidak tahan dengan sikap panas barannya,” jelasnya.

Sumber: Utusan