Sudah biasa ‘berkepit’ sepanjang masa, selepas selamat bernikah pasti merasakan tiada kekuatan untuk berpisah daripada ahli keluarga terutama bagi pengantin perempuan.

Situasi seperti itu terjadi kepada seorang wanita, Nur Sukma apabila bersedih terpaksa berjauhan dengan keluarga selepas selesai majlis bertandang di rumah keluarga suaminya.

Video ‘drama’ air mata itu dimuat naik sendiri oleh Nur Sukma di aplikasi TikTok memaparkan dia menangis teriak seolah-olah tidak membenarkan ibunya pulang ke rumah.


Lebih melucukan apabila pengantin berusia 19 tahun itu berkata, jarak antara rumah mentua dan ibu bapanya hanya mengambil masa 15 minit, bukan perlu ‘meredah’ negeri lain.

Rakaman berdurasi 37 saat itu kelihatan Nur Sukma yang mengenakan persalinan berona ‘baby blue’ hanya mampu sebak saat ahli keluarga lain bergelak ketawa melihat gelagatnya.

Malah, ibunya juga sempat berseloroh mengatakan solekan pada wajah pengantin akan pudar sekiranya terus ‘memberontak’ dengan cara demikian.

Meninjau di ruangan komen, video meraih lebih 460,000 tontonan itu mendapat pelbagai reaksi yang rata-rata turut terhibur dengan tindakan emosi Nur Sukma.

Nur Sukma yang juga stokis produk kosmetik mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Hakimie Ahmad pada 5 September lalu.

Sumber: OMM