Lelaki Ini Jelaskan Cara Beliau Raih Lebih RM900 Sehari Dengan Hanya Jadi Tukang Beratur Untuk Pelanggan


Pada zaman sekarang, bermacam-macam jenis kerja yang boleh kita lakukan demi mencari pendapatan. Kadangkala, kerja yang ramai orang tidak pernah terfikir juga boleh menjadi sumber pendapatan seperti kerja yang dilakukan oleh lelaki ini.

Lelaki berusia 31 tahun yang dikenali sebagai Freddie Bekitt memperoleh pendapatan sambilan sekitar 160 pound (RM903) sehari dengan menjalankan pekerjaan sebagai tukang beratur. Apa yang dilakukannya adalah sesuai untuk pelanggannya yang majoritinya terdiri daripada golongan kaya atau berduit dan yang malas menunggu ketika berbelanja dan sebagainya.

Menurut Freddie yang merupakan penulis fiksyen dari Fulham, dia mampu meraih 20 pound (RM112) sejam dan dia sanggup beratur untuk jangka masa lebih lama agar boleh mendapat lebih banyak upah atau wang.

“Saya sanggup beratur panjang janji ada yang sudi membayar saya untuk melakukan tugas itu. Saya mengiklankan perkhidmatan saya dalam (aplikasi) Taskrabbit yang menawarkan pelbagai tawaran pekerjaan pelik dan pelanggan tinggal pilih perkhidmatan yang diingini”

“Saya pernah beratur sampai lapan jam untuk beli tiket pertunjukan V&A Christian Dior. Masa sebenar hanyalah tiga jam, tapi pelanggan minta saya mengambil tiket dan tunggu mereka tiba di acara itu. Saya tidak kisah, janji dibayar 20 pound sejam.”

Tambah Freddie lagi, kebanyakan daripada pelanggan yang menggunakan khidmatnya adalah merupakan golongan atasan yang malas atau tiada masa untuk beratur dan tidak sabar menunggu, terutama sekali bagi mendapatkan tiket atau pass masuk untuk sebarang acara popular yang diadakan.

Freddie juga berharap boleh beratur dengan lebih lama agar pekerjaan itu boleh menjadi sumber pendapatannya sepenuh masa.