Bahan Perapan Yis:
- 1 1/2 cawan air letak dalam gelas besar atau mangkuk
- 2 sudu makan gula pasir
- 1 1/2 sudu makan yis Mauripan
- 1 biji kuning telur, kacau-kacau sebati
– Satukan air suam dan gula, kacau hingga gula larut. Kemudian masukkan yis, kacau-kacau sekejap dan biarkan 15 minit. Dah berbuih, campurkan telur dan kacau sebati. Siap.
Bahan-Bahan Lain:
- 5 cawan tepung gandum*
- 1 sudu teh garam halus*
- 3 sudu makan susu tepung Nespray*
- 1 sudu teh baking powder*
- 1 sd teh Bread Softener kalau ada (saya guna cs)
- 2 sudu makan shortening + 2 sd makan marjerin (kalau tak ada shortening, letak ja marjerin 3 sd makan membukit)
– Ayakkan kesemua bahan bertanda (*) ke dalam mangkuk besar atau talam besar. Sedikit lagi air biasa jika perlu.
Cara Membuat:
1. Tuangkan kesemua perapan yis ke dalam tepung, gaul atau kacau sebati. Tambah sedikit air jika doh terlalu keras, kalau dah ok tak perlu tambah. Masukkan shortening, marjerin dan uli hingga bersatu dan sebati dengan tepung.
2. Terus uli dengan teknik angkat hempas doh dan tarik tolak doh seperti memberus baju hingga doh yang melekit bertukar menjadi licin. Terus uli lebih kurang setengah jam hingga doh kelihatan licin berminyak, elastik dan terasa ringan. Tutup bekas doh dengan tudungnya atau plastik dan perap selama 1 jam hingga naik 3 kali ganda.
3. Apabila doh dah cantik kembang, tekan-tekan buang angin dan uli sekejap. Terus boleh buat rounding atau bentukkan bulat-bulat dan leper sedikit. Sentiasa lumurkan tepung pada tangan supaya doh tak melekat-lekat pada tangan ketika rounding.
4. Dah siap bentuk, rehatkan atas tempat yang ditabur tepung anggaran dalam 20 minit hingga setengah jam bergantung suhu ruang hingga doh kembang semula. Jangan over kembang tau, nanti doh mengecut lembik dan tak cantik bila digoreng.
5. Panaskan minyak dan goreng bom bulat kita dengan api sederhana perlahan. Balikkan sekali atau 2 kali sahaja ye hingga masak kedua-dua bahagian. Api jangan kuat nanti kuih garing mengejut, akibatnya luar terlalu perang dan dalam tak masak sepenuhnya. Ingat tu ye.
6. Angkat dan biarkan suam sedikit. Apabila dah suam bolehlah belah menggunakan pisau besi nipis yang tajam hujungnya. Cucuk hujung pisau pada tepi bom dan tekan perlahan hingga ke tengah sambil hiris sekelilingnya tapi jangan sampai putus k.
7. Letak sambal bilis dan kepingan timun, siap dan hidangkan. Konfem tak cukup sebiji, mesti lari diet kalau ada burger sambal lembut ni di depan mata. Moga bermanfaat ye.
Bahan-Bahan Sambal Bilis (Burger Sambal):
- 3 genggam ikan bilis yang siap dibelah, basuh dan rendam sekejap. Pastu toskan dan bilas sekali lalu bawah air paip. Tos kering, ketepikan.
- 1 labu bawang besar, hiris bulat.
- Gula secukup rasa
- Garam sedikit
- 1 sudu makan serbuk Hilal
- Sedikit air asam jawa, jangan masam sangat
- 1 sudu makan kicap lemak manis untuk serlahkan warna sambal
Bahan Blend:
- 20 tangkai cili kering – Ikut pedas, boleh tambah. Gunting serong cili kering, basuh dan rebus hingga mendidih. Dah mendidih toskan dan basuh bawah air paip.
- Segenggam ikan bilis siap dibasuh bersih
- 2 ulas bawang putih
- 1 labu bawang besar dihiris kasar
- 3 biji bawang merah dibelah 4
- 3 sudu makan minyak masak dan air secukupnya untuk blend
– Satukan semua bahan dan blend halus.
Cara Membuat Sambal:
1. Panaskan minyak secukupnya dalam kuali dan tumis bilis yang 3 genggam tadi. Kacau-kacau hingga naik bau. Tak perlu garing.
2. Masukkan bahan blend, masukkan sedikit air ke dalam jag blender. Goncang-goncang dan tuangkan air cili ke dalam kuali tadi. Masukkan kicap dan gula dan kacau sebati, biar mendidih. Kacau-kacau hingga kering dan nampak pecah minyak, jangan tinggal dan mesti kacau selalu tau supaya sambal tak hangus.
3. Bila sambal dah kering, masukkan sedikit air lagi. Kacau-kacau dan bila dah mendidih semula masukkan garam, air asam, Hilal dan bawang besar. Rasa masin manis sesedap rasa dan biarkan sambal kering sambil kacau sekali sekala.
4. Sambal jangan terlalu masin ye, biar rasa manis lebih dari rasa masin baru sedap. Dah siap sambal bolehlah isikan dalam bom burger yang dah siap dibela tadi. Lapiskan dengan timun atau daun salad segar, rangup-rangup gitu.
Sumber: Zurina Kifli