Kisah yang ingin dikongsi ini bukan masalah rumah tangga saya sebaliknya terjadi kepada emak. Sebagai anak, saya berasa kasihan melihat keadaan dirinya yang selalu bermuram dengan sikap ayah.

Saya anak ketiga dari lima beradik. Kakak sudah berumah tangga manakala abang pula menjadi anggota tentera. Saya masih menuntut di pusat pengajian tinggi sementara dua lagi adik masih bersekolah.

Jadi Satu Masalah Bila Ada Pandangan Orang Luar Pada Ayah

Luarannya, orang sering memandang tinggi kepada ayah kerana sikapnya yang ramah dan sering ringan tulang membantu masyarakat sekitar. Peribadi ayah nampak baik kerana itu paparan luaran yang sering ayah tunjukkan tetapi sebagai anak yang memerhati, saya memang tahu emak sering makan hati dengan sikap mata keran jang ayah.

Pantang melihat wanita lain yang jauh lebih cantik daripada emak, mulalah mulutnya memuji-muji sehingga ayah sedikit pun tidak pernah mempedulikan perasaan emak dan bolehkah emak menerima sikapnya itu. Lebih teruk lagi, dulu pernah ayah sampai ke satu tahap ingin berkahwin tetapi emak dapat menghidunya lebih awal.

Untuk pengetahuan semua, ayah memang ada rupa paras yang menarik. Kerjanya pula sebagai pegawai kerajaan dan ayah memang ada banyak kenalan kerana sikap ramahnya itu. Emak hanyalah seorang suri rumah tangga dan dari dulu menguruskan kami anak beranak.

Emak banyak menguruskan rumah tangga dan hanya bergantung duit dari ayah sahaja untuk belanja seharian. Satu yang saya sedihkan ayah tak kisah berbelanja untuk anak-anaknya tetapi ayah seperti berkira untuk membelikan emak hadiah dan sebagainya. Jarang saya lihat emak tersenyum kerana saya lihat emak lebih banyak makan hati dengan cara ayah.

Bayangkan bila ke majlis kenduri kahwin saudara mara, ayah menjadi tumpuan dan usikan. Kata mereka depan mak, mak beruntung sebab ayah masih kelihatan kacak dan tak nampak tua berbanding usia. Emak hanya tersenyum kelat. Hatinya menderita tetapi tidak ramai yang tahu derita dialaminya. Sesekali bila saya balik, emak seperti mengajak saya berbual dan ketika itulah dia luahkan isi hatinya. Bagaimana ayah melayannya dan sikap ayah yang kerap memandang perempuan.

Sampailah Satu Tahap…

Mulanya saya tidak faham semua ini tetapi bila saya semakin matang, saya faham dengan apa yang emak maksudnya. Saya ingin bertanya, adakah semua lelaki memang begitu? Adakah lelaki memang ga tal dan suka memandang wa nita lain selain isterinya? Tidak pernahkah ayah melihat kami yang mungkin menerima nasib yang sama kalau semua lelaki sepertinya? Di universiti, saya ada mengenali seorang lelaki dan kami satu pengajian tetapi saya tidak berani mendekati biarpun dia beria-ia menghulurkan salam perkenalan. Saya seakan takut kerana saya tak mahu saya senasib seperti emak!

Baru-baru ini emak menelefon saya, menangis bercerita. Emak dapat tahu bapa ada kenalan wanita dan mereka sudah seperti di peringkat serius untuk berkahwin untuk beberapa bulan lagi. Saya menzahirkan rasa terkejut dengan penerangan emak. Kata emak lagi hubungan bapa sudah benar-benar serius dan bapa pun seperti sudah tidak mempedulikan apa pandangan emak dan sebagainya.

Apa yang saya harus buat dalam hal ini? Biar emak menyuruh saya berjanji tak akan bercerita pada abang dan kakak tetapi saya memang tak boleh bersabar kerana bagi saya ini semua sudah melampau. Kakak memang marah, abang juga begitu. Semuanya tak boleh menerima perangai bapa kerana kami anak-anaknya sudah besar. Bagi kami, bapa hanya pentingkan dirinya sahaja tanpa memikirkan perasaan kami dan emak.

Sejak kisah bapa nak kahwin itu, saya lihat muka emak semakin suram. Emak sudah tak banyak bercakap lagi, mungkin emak terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa dan hanya berserah kepada nasibnya sahaja.

Saya juga tengok ayah seperti tidak senang duduk bila semua orang membangkang hasrat hatinya itu kerana kami merasakan ayah tidak adil pada emak dan anak-anak. Suasana dalam rumah juga semakin sepi, semua adik-adik pun seperti tidak suka kepadanya. Masa berlalu, saya tak pasti adakah ayah akan berkahwin seperti keinginannya? Apa yang harus saya buat? Adakah semua lelaki begitu? Bagaimana untuk saya tenangkan hati emak? Bantulah saya!

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber: Mingguan Wanita