Dulu pakai topi chef kini polis, ibu menangis akhirnya anak bongsu tunai hasrat arwah papa

 Add Me  Follow Me  Follow Me  Follow Me


Perkongsian video seorang wanita di laman Twitter yang memaparkan detik sayu antara adik bongsu dan ibunya ternyata menarik perhatian ramai.

Menerusi rakaman itu, Muhammad Azraai Abdullah, 24, secara spontan memeluk ibunya, Salmah Hamid, 60, sejurus berakhir Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel (Lelaki) Siri 09/2018 di Pusat latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Sekadar berkongsi secara suka-suka, Syafiqa Abdullah, 28, tidak menyangka video berkenaan akan tular sehingga menerima hampir 27,000 ulang kicau (Retweet).

Jelas Syafiqa, pada mulanya dia sekadar mahu membuat rakaman mengenai perubahan warna kulit adiknya dan tidak menyangka ia berakhir dengan babak air mata yang cukup meruntun jiwa.

Syafiqa (hujung, kiri) bersama Azraai, ibu, serta adik beradiknya yang lain di Pulapol Air Hitam Sabtu lalu.
"Saya rakam sebab perubahan kulit muka dia, wajah jadi gelap selepas enam bulan latihan. Selepas itu saya terus rakam sehingga dia cari ibu dan peluk dari belakang.

"Tapi ibu sebenarnya dari awal lagi dah menangis. Mungkin dia rasa sayu sebab orang lain dah mula peluk anak masing-masing, adik saya belum muncul lagi.

"Kami juga bimbang masa tu, dengar khabar ada beberapa orang pengsan dalam perbarisan, kami ingat dia yang pengsan," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online pada Selasa.

Menurut Syafiqa, Azraai sebelum ini pernah bertugas sebagai chef di sebuah hotel di Kuantan, Pahang sebelum menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2018.

Dia mengambil keputusan untuk menjadi anggota polis atas perminataan arwah bapa, Abdullah Mat Adam yang pernah bertugas sebagai polis bantuan di Bank Negara Malaysia, suatu ketika dahulu.

"Kami lima beradik, semua perempuan dan dia bongsu satu-satunya lelaki. Dari Kak Long lagi arwah papa suruh jadi polis, tapi semua tak ikut. Hanya dia seorang sahaja yang berjaya jadi polis.

"Dulu subjek Bahasa Malaysia dia tak kredit pun sewaktu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), arwah papa siap hantar dia pergi tuisyen, ambil peperiksaan ulangan.

"Untuk masuk polis tu banyak benda dia buat. Dia pun bukan jenis yang lasak. Sebab tu kami rasa sayu sangat, lagi pun papa tak sempat tengok dia jadi polis, papa meninggal pada 2017, " ujar Syafiqa lagi.

Tambahnya lagi, dia sekeluarga turut berbangga dengan pencapaian Azraai yang berusaha gigih sehingga berjaya menamatkan latihan.

Dalam pada itu, rata-rata netizen di laman Twitter turut menzahirkan rasa sayu mereka setelah menonton video yang dimuat naik oleh Syafiqa.

"Sedihnya teringat dekat abang aku dua tahun lepas menangis mak den tengah padang tu," tulis @eeja59.

"Kenapa air mata aku bergenang tengok video ni, rindu mak," tulis seorang lagi pelayar Twitter.

Sumber: Mstar Online