9 Teknik Mudah Dan Hebat Bagaimana Didik Anak Untuk Mudah Faham Dan Hafaz Al Quran

9 Teknik Mudah Dan Hebat Bagaimana Didik Anak Untuk Mudah Faham Dan Hafaz Al Quran

 Add Me  Follow Me  Follow Me  Follow Me


Di zaman yang serba canggih ini, peranan gajet dalam kehidupan dilihat amat penting sekali. Sampaikan ada yang hidup seolah-olah bertuhankan gajet.

Ada sesetengah daripada kita yang pastinya akan mencari telefon bimbit ketika baru sahaja bangun dari tidur, dan bukan memulakan hari yang baru dengan memanjatkan rasa syukur kepada tuhan kerana telah diberi peluang untuk hidup.

Ada juga sesetengah ibu bapa yang menggunakan gajet ini untuk mendiamkan anak-anak kecil mereka yang memberontak kerana inginkan sesuatu. Seperti yang kita ketahui, penggunaan gajet bagi tumbesaran kanak-kanak ada kesan buruknya jika ianya terlampau kerap sangat didedahkan.

Daripada mendedahkan anak-anak kecil ini kepada gajet, adalah lebih baik mendedahkan mereka dengan Al-Quran. Dedahkan mereka cara-cara untuk membaca serta menghafaznya. Mereka akan terbiasa dengan rutin membaca serta menghafaz Al-Quran ini secara tidak langsung.

Untuk mendidik anak-anak kecil dalam menghafaz Al-Quran ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Dengan menggunakan teknik yang betul, anak-anak anda pasti akan dapat menghafaznya.

Seorang pengguna Facebook yang bernama Khairul Anuar Basri ini ada berkongsikan tentang tips untuk mendidik anak dalam menghafaz Al-Quran dengan mudah. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

Pagi ini saya nak kongsi 9 tips mudah dan hebat, macamana kita boleh didik anak-anak kecil menghafaz Al-Quran.

Betulkan bacaan mereka

1. Bagi anak-anak yang sudah tahu membaca Al-Quran, betulkan bacaan mereka mengikut tajwid. Ini sangat penting kerana hafazan yang pertama kali dibuat mengikut tajwid yang betul akan menyebabkan hafazan mereka tepat setiap saat dan tidak perlu usaha untuk memperbetulkannya lagi.

Guna teknik untuk menghafaz

2. Setelah dibetulkan tajwid bacaan mereka, mula menghafaz menggunakan teknik yang pelbagai. Mungkin mereka membaca sendiri berulang kali, atau mereka juga boleh dibantu oleh audio bersama-sama.

Tetapkan masa dan bilangan ayat yang perlu dihafaz

3. Peruntukkan masa dan target berapa ayat yang mesti dihafaz oleh anak-anak dalam sehari. Ibu bapa boleh memantau secara santai proses menghafaz mereka.

Buat ujian

4. Uji hafazan (tasmik) anak-anak setiap kali selesai setiap sesi untuk memastikan mereka berjaya menghabiskan tugasan yang diberi.

Uji hafazan ayat mereka yang terdahulu

5. Sebelum berpindah ke ayat yang baru, uji hafazan mereka yang terdahulu untuk memastikan mereka masih ingat. Ujian ini boleh diselangseli juga ketika perlu.

Teknik ulangkaji

6. Untuk ulangkaji, gunakan juga CD dan pasang bila mana menaiki kereta. Biasanya, anak-anak secara automatik akan terus membaca bersama kerana mereka telah hafaz.

Gunakan CD bagi yang belum mahir

7. Bagi anak-anak yang belum mahir membaca, boleh gunakan CD sebagai alat bantuan menghafaz. Pastikan CD itu mempunyai bacaan yang standard panjang pendek harakatnya demi menjamin kualiti hafazan anak-anak.

Ulang dan semak

8. Guna kaedah ulangan dan semakan (i’adah) yang sama seperti di atas untuk mengukuhkan hafazan.

Dedahkan dengan pertandingan hafazan

9. Kaedah di atas akan lebih berkesan jika anak-anak turut didedahkan dengan pertandingan hafazan. Jadi, galakkan anak-anak untuk menyertainya walaupun bukanlah menjadi target untuk mendapat nombor teratas.

Selamat mencuba!