Apa itu petua?

Petua adalah amalan baik yang menjadi ikutan oleh semua orang. Tak kira kamu bangsa apa, agama apa sekalipun masing-masing ada petua yang tersendiri. Petua untuk menjaga diri, petua untuk kesihatan diri, petua untuk kelihatan cantik berseri dan macam-macam lagi.

Kita harus mengamalkan petua-petua yang memberi kebaikan dan bukan memudaratkan diri. Yang paling penting petua yang diamalkan tidak menjurus kepada perkara syirik. Saya sendiri pun mengamalkan beberapa petua.

Tapi kadang-kadang tu ikut mood juga. Petua untuk suka-suka je. Kalau rasa agak berbaloi boleh follow petua ni tapi kalau rasa ala-ala aje… tak pe, yang penting anda semua nak baca jugak kan.

Petua ketika makan

Makanlah apa saja di kala sihat. Tapi biarlah berpada-pada. Makan bila perlu. Kalau makan pun tiada sistem itu yang kerap mengganggu kesihatan perut. Menu makan tu dimestikan hidang sekali sayuran atau ulaman. Tak kiralah, timun, kangkong, bendi atau terung yang dicelur, ‘lettuce’dan bermacam-macam lagi ulaman yang kaya dan banyak khasiat.

Kita semua maklum yang sayur-sayuran ini amat bagus untuk pencernaan. Sayuran juga sangat elok bagi kulit kita untuk kelihatan licin dan tidak kering. Sewaktu makan juga kurangkan minum air untuk elak perut buncit. Lebih baik kalau kita amalkan minum air suam sahaja.

Petua untuk kempis perut

Perut ni susah sikit nak jaga. Kena tengok juga cara pemakanan. Saya sendiri pun kadang-kadang perut ni buncit jugak. Tapi sebelum tidur saya akan cuba buat senaman ringan dalam 10 minit. Cara saya dengan buat senaman sit up sambil tahan nafas, tegakkan kaki ke atas dengan kedua belah tangan memegang kiri dan kanan pinggang dan membongkok badan sambil meluruskan kaki.

Bukan perut saja tapi punggung kita juga lebih mantap. Senaman begini kena rajin buat. Nak sihat nak cantik kenalah buat senaman.

Petua air minuman

Saya memang kurang minum air. Minuman kopi memang kesukaan. Tapi dah beberapa minggu saya amalkan kalau bersarapan pagi mesti minum air limau. Kadang-kadang tu kat rumah buat teh ‘O’ limau.

Memang sedap. Badan rasa segar. Lagi satu rahsia, saya memang tidak suka memakan benda yang masam. Alergi betul lidah… tak tahan masam. Masa mengandung pun tak suka makan asam. Tapi kali ini sebab nak sihat saya minum.

Selain dari itu saya suka minum air halia dan serai. Halia dan serai diketuk dan direbus. Buatlah untuk minuman harian. Selepas minum air rebusan tu badan akan rasa ringan. Halia dan serai kan elok untuk pembuangan angin dalam badan dan juga untuk pencernaan. Malahan kedua-dua bahan ini juga amat elok untuk pernafasan mulut.

Petua untuk kulit muka dan badan

Kalau nak muka dan tubuh badan bersih mesti rajin layan diri sendiri. Tak payah pergi spa. Wanita dah memang sinonim dengan kebersihan dan kecantikan. Mana ada wanita yang tak suka dipuji. Tapi kalau dah malas itu terpulang pada diri sendiri.

Malah ada segelintir kaum Adam yang melebihi tabiat seorang Hawa. Saya amalkan ini bukan untuk cantik tapi saya mahu kulit yang original lembut dan bersih. Tomato dan timun saya blender dan jadikan kiub ais.

Setiap hari selepas balik dari kerja saya akan mencuci muka dan badan dengan kiub ais tomato atau timun. Memang sejuk, tapi gosokkan perlahan-lahan di muka serta badan dan jangan terlalu kasar. Biarkan kering sedikit seketika dan cuci dengan air bersih atau air suam.

Kita dapat merasakan kelembutan kulit muka hingga keesokkan hari. Kulit pun tidak berminyak. Air limau nipis dan ‘lemonade’ juga elok disapu pada muka. Kulit muka akan kemerahan dan terasa lembut.

Saya juga selalu menggosok badan dengan kiub ais tomato, timun, limau nipis dan ‘lemonade’. Badan rasa segar dan wangi. Follow petua saya yang ni, bukan main-main tau. Really bagus.

Petua untuk kebersihan jari

Banyak jasa jari-jemari kepada kita. Dengan jari kita dapat makan, merasa dan menyentuh sesuatu benda. Jari perlu dijaga dengan rapi. Ketika bersalam dan menyuap makanan ke dalam mulut, orang sekeliling akan melihat anggota jari kita.

Amalan yang paling mudah dan cepat, guna losyen atau pun minyak baby. Jenis jari yang kering dan kasar akan kelihatan lembab dan lembut.

Petua untuk kuku cantik

Orang perempuan suka berkuku pendek atau panjang. Itu terpulang kepada cara penampilan masing-masing. Paling penting kuku mesti bersih. Kuku juga ada kaitan dengan kesihatan tubuh badan.

Pilih pengetip kuku yang sesuai digunakan. Selepas mengetip kuku, agar kuku sentiasa kuat dan cantik adalah dengan penggunaan losyen. Kalau rajin dan ada masa lapang sapu dan belai kuku dengan limau nipis. Kuku akan kelihatan bersih dan berkilat.

Petua untuk tumit kaki

Kalau dah perempuan tak kira anak dara atau pun mak orang, orang lelaki suka perhati dari kepala sampai ke tumit kaki. Pada hemat orang lelaki kalau kaki dan tumit tu bersih maka bersihlah seseorang perempuan tu.

Tapi kalau sebaliknya banyak tohmahannya.Setiap hari saya akan menggosok tumit kaki yang basah di simen. Pada saya tumit kaki wajib bersih. Kebersihan pada tumit kaki adalah kunci penampilan seseorang.

Saya nak kelihatan bersih dan cantik di mata suami. Sebelum tidur saya akan menyapu losen di keseluruhan kaki. Banyak pilihan losyen yang sesuai dengan kulit wanita Asia. Selain daripada itu, cara tradisional sesekali saya akan menggosok keseluruhan kaki dan celah-celah jari dengan limau nipis. Kulit kaki akan kelihatan cukup bersih.

Petua berkasih dan sayang

Dalam melayari bahtera rumah tangga apa yang dicari? Sudah tentu kasih sayang dan kebahagiaan bersama. Bohong kalau pasangan yang sudah berkahwin tidak menetapkan kasih dan sayang itu sebagai penjamin dan pengikat kerukunan dalam rumahtangga.

Bahkan wang ringgit juga tidak boleh melawan betapa perkasanya kasih dan sayang itu. Setiap pasangan perlu ada sikap bertolak ansur, tolong menolong, saling memahami, tidak meninggi diri di hadapan pasangan, tak usah terlalu berkira dalam perbelanjaan harian dan sering cuba menjaga hati, emosi dan perasaan pasangan.

Paling utama jangan kedekut dengan isteri atau suami sendiri. Oooh… tidak patut sama sekali. Dalam rumahtangga biarlah sentiasa bersederhana. Apa sahaja kemahuan biar bersandar kepada kelebihan dan kekurangan pada diri pasangan masing-masing.

Bukan ikut kata hati dan telunjuk jari. Senyuman juga penting. Sedangkan hilai ketawa itu juga sebagai positif diri dalam kehidupan.

Petua masuk rumah baru

Orang Melayu memang ambil berat dalam mengamalkan petua. Kalau nak masuk rumah baru sekalipun ada juga petua. Bukan kepercayaan tapi sebagai orang luar wajib bagi salam dulu sebelum masuk rumah baru.

Betul tak? Kata orang ‘feel’ tu kena ada, serasi ke tidak. Menurut orang-orang lama kalau nak pindah rumah baru, sebelum kita pindah segala perabot seelok-eloknya letakkan barang-barang asas atas dulang sebagai pembawa rezeki.

Contohnya seperti minyak, garam, gula, kacang hijau dan macam-macam lagi. Tapi sebelum tu rumah baru dah sempurna dibersihkan. Ni hanya petua aje dan tidak pula dimestikan. Wallahu’alam. Selebihnya kita wajib berdoa kepada Allah. Dia Maha Mengetahui dan Pemberi rezeki.

Petua kalau ada ‘new born baby’datang rumah

Ha… petua yang ni pun ada. Anak adalah penyeri dan rezeki dalam rumahtangga. Kalau baby baru lahir nak masuk rumah biasanya orang-orang tua akan meletakkan senduk ke mulut baby tu agar dia serasi dan tidak mudah menangis.

Selain daripada itu, mulut baby juga disapu air zam-zam, kalau ada disimpan dan diseletkan juga mulut baby dengan benda-benda manis sebagai tanda selamat datang dan semoga dimurahkan rezeki.

Kita semua maklum yang masyarakat moden kini masih ada lagi mengamalkan petua-petua yang sudah sebati dan dirasakan tidak melanggar hukum syarak. Saya hanya mengamalkan petua-petua yang berkaitan untuk kesihatan dalaman dan kecantikan diri sahaja.

Cuba curi masa untuk ‘pedicure’ dan ‘medicure’ badan sendiri kerana kita akan rasa lebih bebas. Mudah dan senang. Paling penting rajin.

Apa-apa pun tidak menjadi kesalahan sekiranya kita mengamalkan petua-petua dari nenek moyang dulu kala. Pesanan saya kepada kawan-kawan pembaca, teruslah amalkan petua-petua yang sedia ada yang berkaitan untuk diri sendiri, petua yang sesuai dengan keadaan dan suasana, untuk masakan dan yang paling baik petua untuk kesihatan tubuh badan.

Harap pembaca semua dapat juga sedikit ilmu daripada saya berkenaan dengan petua.

Sumber: iluvislam