Ketahui 7 Punca Rumah Kita Tidak Dikunjungi Malaikat Rahmat



Inilah di antara kebaikan atau faedah rumah yang dimasuki Malaikat Rahmat. Oleh itu setiap orang mukmin hendaklah sentiasa memelihara tiap-tiap perkara yang boleh mendekatkan dan memudahkan Malaikat Rahmat sentiasa memasuki rumah kita.

Sebaliknya, apabila malaikat tidak masuk ke dalam rumah kita, maka ditakuti pula syaitan akan mengambil tempat memasukinya. Apabila syaitan berada pada suatu tempat disebabkan terdapat maksiat yang dilakukan, maka malaikat tidak akan masuk ke tempat tersebut kerana syaitan itu adalah musuh malaikat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Perlu diketahui, ada banyak kriteria rumah atau tempat kediaman yang tidak dimasuki oleh Malaikat Rahmat, di antaranya ialah :

1. Rumah orang yang memutuskan tali persaudaraan

Sesungguhnya menghubungkan silaturahim adalah wajib manakala memutuskannya pula adalah satu maksiat dan berdosa besar.

2. Rumah orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapa

Kewajipan anak terhadap ibu bapa ialah berbuat baik, taat dan menghormati mereka. Adapun derhaka terhadap kedua ibu bapa itu adalah sebesar-besar dosa selepas syirik kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sesungguhnya keredaan Allah Subhanahu Wata’ala adalah terletak pada keredaan kedua ibu bapa terhadap anaknya dan kemurkaan Allah Subhanahu Wata’ala adalah terletak pada kebencian kedua ibu bapa terhadap anaknya.

3. Rumah orang yang memakan harta anak yatim

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:

Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Sebaik-baik rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang diberi layanan yang baik terhadapnya. Dan seburuk-buruk rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang dianiaya. (Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah)

4. Rumah yang mempunyai anjing

Islam adalah agama yang menitikberatkan soal kebersihan dan kesucian. Adanya anjing dalam rumah seorang Muslim memungkinkan terdapatnya najis pada sekeliling atau persekitaran rumah disebabkan jilatan dan kencing anjing ataupun seumpamanya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

Dari Abi Talhah katanya : Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak akan masuk malaikat ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan tidak pula masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya rupa patung-patungan. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

5. Rumah yang mengadakan suatu majlis yang tiada di dalamnya mengingati Allah

Adapun sesuatu majlis yang tidak diisi dengan zikirullah seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir dan sebagainya dan tidak juga diisi dengan ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.



Ia disifatkan sebagai kelalaian, kerugian dan penyesalan disebabkan hilangnya kebajikan, tidak mendapat apa-apa ganjaran atau pahala, jauh daripada Malaikat Rahmat dan bertapaknya pula syaitan dalam majlis tersebut.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu telah berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Tidaklah suatu kaum duduk dalam satu majlis di mana mereka tidak berzikir kepada Allah Subhanahu Wata’ala melainkan ditimpakan ke atas mereka pengurangan pahala. (Riwayat Al-Imam Ahmad)

6. Rumah yang banyak kedengaran di dalamnya caci maki

Contohnya mencaci maki sesama Muslim, mencaci maki orang yang telah meninggal dunia, kejadian alam, penyakit dan sebagainya. Bagi setiap Muslim dan Muslimah mestilah sentiasa memelihara atau menjaga lidahnya daripada setiap kata atau ucapan melainkan yang jelas ada manfaatnya.

Di antara rahsia di sebalik menjaga lidah itu ialah memudahkan Malaikat Rahmat mendekatkan diri kita dan datang berkunjung ke dalam rumah kita. Orang yang celupar lidahnya, suka memaki hamun, mencela dan mengutuk tidaklah disifatkan sebagai orang yang beriman sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

“Dari Abdullah telah berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Seorang yang beriman itu bukanlah orang yang suka mencela, suka mengutuk, suka berbuat jahat dan bukan pula yang kotor lidahnya”. (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)

7. Rumah orang-orang yang dilaknat

Di antara golongan yang dimaksudkan itu ialah orang yang terlibat dengan arak dan rasuah, orang yang merubah ciptaan Allah seperti membuat tatu pada tubuh badan, mencukur atau menipis alis mata, lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Untuk menjadikan rumah kita sentiasa dikunjungi oleh Malaikat Rahmat hendaklah kita menjauhi perkara-perkara yang dilarang dalam agama kita. Biarlah segala yang makruf itu dijadikan sebagai prinsip dan syiar dalam kehidupan kita seharian.

Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan Malaikat Rahmat akan sentiasa mengunjungi rumah kita dengan membawa berkat dan mendoakan kebaikan serta keselamatan terhadap diri dan keluarga kita. Amin Ya Rabbal’alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Ahzab ayat 43 tafsirnya:

Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikat-Nya pula berdoa bagi kamu untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dan taat). Dan adalah Ia sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman di dunia dan di akhirat.

Akhbarkini