Realitinya berapa ramai suami yang tak pernah berkira dalam membelanjakan wang ringgit, masa malah tenaga yang mereka ada untuk menggembirakan hati isteri. Bukan tiada, ada sebenarnya. Cuma isteri sajalah yang boleh jawab pertanyaan ini. Ini cara lebatkan rezeki suami.
Sepanjang masa, isterilah yang akan berada di samping suaminya. Jadi nak tahu pemurah atau tak suami, isterilah yang paling dekat dan boleh jawab.
Salah satu cara nak bagi suami murah rezeki adalah dengan memberi sedekah pada isteri sendiri. Sedekah bukan saja wang ringgit. Sedekah masa, sedekah tenaga itupun dikira sedekah.
Suami yang pemurah, takkan pernah berkira kalau kena basuh baju sendiri, isteri dan anak-anaknya. Sesekali turun ke dapur siapkan sarapan pagi untuk anak isteri.
Mungkin, suami kita tak kaya dari segi duit. Tapi hati isteri akan jadi tersangatlah tenang bila suami kita kaya budi bahasa.
Suami yang kaya, adalah suami yang sentiasa berusaha menggembirakan orang di sekelilingnya. Biarlah dia letih sedikit. Dia tetap bahagia tengok orang lain bahagia.
Cara Buat Suami Murah Hati Bersedekah Pada Isteri
Memandangkan bukan semua suami bermurah hati dengan isterinya. Ada cara sebenarnya nak pujuk suami agar bermurah hati dan rajin bersedekah dengan isterinya
1. Isteri sendiri pun jangan terlalu ‘macam-macam’. Tengoklah kemampuan suami takat mana. Kalau dia cuma mampu menyediakan rumah sewa, janganlah kita memaksa suami belikan rumah mewah.
Kelak, hidup kita dikelilingi hutang hanya kerana suami nak usahakan juga sedekah sebuah rumah untuk isterinya.
2. Isteri sendiri kenalah pemurah. Bukan saja pemurah dari segi wang ringgit. Tapi pemurahlah melayan dengan baik ibu bapa suami malah adik-beradik suami.
Hubungan baik itu akan buatkan suami jadi tenang. Mudah saja nanti nak minta suami hulurkan sedekah kepada kita. Percayalah! Suami memang takkan teragak-agak jika kita ikhlas sayangkan orang-orang yang pernah membesar dan berjasa dengannya.
3. Awas! Kata-katamu. Adatlah hidup berumah tangga ada masa tenang macam air tasik. Ada masa bergelora macam Laut China Selatan. Tengah marah sekalipun, jangan sampai keluar ayat-ayat yang menyakitkan.
Biarlah cuma ayat-ayat cinta pedas menusuk ke kalbu isteri berikan pada suami. Isteri yang bijak adalah isteri yang pandai bermain dengan bahasa. Kalau marah pun, marahlah dalam gurauan. Hati pun tak sakit, tapi pedasnya terasa.
4. Mengalahlah untuk satu-satu perkara yang memberi manfaat pada suami mahupun isteri. Kadangkala terlalu ego dan menegakkan benang yang basah pun ada tak eloknya.
Mungkin di mata kasar, isteri kalah. Tapi hikmahnya, isteri telah menang besar.
Sumber: mingguanwanita