Berkebun dengan menggunakan bekas seperti botol plastik, polibeg atau pasu boleh menjadi satu perkara yang menyeronokkan. Ia amat sesuai bagi sesiapa yang tiada kawasan yang luas untuk menanam. Tidak kira kita tinggal di rumah teres mahupun aparment. Yang penting ada semangat untuk berkebun! Sesiapa pun boleh belajar cara tanam sayur dalam pasu.

Di sini terdapat 6 perkara yang harus kita ketahui apabila kita ingin berkebun menggunakan pasu atau pot.

  • Lokasi
  • Jenis tanaman
  • Sistem pengairan
  • Baja yang sesuai
  • Media tanaman
  • Sistem siraman

1. Lokasi pasu

Perkara pertama yang perlu kita perlu ambil perhatian adalah di mana lokasi pasu kita ingin berkebun. Di mana tempat kita hendak meletakkan pasu dan bekas tanaman kita. Adalah lebih baik jika kita letak pada tempat yang ada cahaya matahari seperti di tepi tingkap dan di tepi bangunan.

Cahaya matahari pagi adalah paling bagus untuk tumbuhan. Jika tempat kita tinggal itu hanya ada cahaya di antara waktu pagi atau petang, pilihlah di waktu petang.

Sayuran berdaun seperti kangkung, sawi, dan bayam memerlukan sekurang-kurangnya 4-6 jam cahaya penuh untuk hidup subur. Pokok buah dan bunga memerlukan cahaya 6-8 jam sehari.

Sebab itulah lokasi memainkan peranan penting.

Jangan lupa, letak pasu di tempat yang mudah kita lihat. Ini agar sentiasa memotivasikan kita untuk terus berkebun.

2. Jenis Tanaman

Kita juga perlu tahu jenis tanaman apa yang hendak kita tanam di dalam bekas. Lain tanaman lain penjagaannya. Untuk pemula, saya cadangkan kita menanam kangkung, bayam dan sawi kerana tanaman ini sangat senang tumbuh dan dijaga. Cuba tanam dahulu di dalam bekas dan lihat perkembangannya di lokasi yang telah kita pilih.



Kemudian apabila sudah menuai tanaman tersebut, boleh cuba dengan tanaman lain. Mulakan sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit. Apa yang penting? – Pengalaman.

3. Pengairan

Ramai yang ingat tanam menggunakan bekas tidak membuat sistem pengairan yang baik. Jangan keliru istilah pengairan dengan penyiraman. Pengairan bermaksud air siraman diserap oleh pokok manakala lebihan air disalurkan keluar dari bekas tanaman.

Kebanyakan sayur dan pokok buah tidak tahan dengan air bertakung di dalam bekas. Akar tumbuhan akan lemas dan seterusnya boleh menyebabkan kematian pokok. Pastikan setiap bekas yang kita gunakan mempunyai lubang pengairan dibawahnya agar air siraman yang lebih boleh mengalir keluar dari pasu.

Ingat! Kita tidak tanam pokok air tetapi kita tanam pokok darat. Tentunya air hanya secukupnya memadai.

4. Baja

Pembajaan amat penting kepada pokok yang tumbuh di dalam bekas. Jika di atas tanah, akar pokok boleh menjalar jauh mencari sendiri air dan nutrien tetapi di dalam bekas tidak. Oleh itu selalulah bekalkan baja seperti kompos, baja sebatian ataupun baja tahi ayam kepada tanaman kita. Kalau boleh, selang selikan dengan baja kimia jika kita lihat kesannya lambat.

Pembajaan boleh dilakukan dua minggu sekali ataupun sebulan sekali bergantung kepada jenis baja yang kita guna. Jika saya guna kompos sebagai baja akan saya bubuh seminggu sekali. Dan hanya pada hari Sabtu atau Ahad sahaja saya akan membaja. Penetapan hari untuk membaja akan memudahkan saya untuk tahu jadual pembajaan yang bagus.

5. Media tanaman

Media di sini dimaksudkan adalah jenis-jenis tanah yang boleh kita gunakan untuk bertanam. Ada yang guna tanah campur, tanah bakar ataupun kompos sebagai media dalam pasu kita. Untuk penanaman pasu, lebih elok kita guna media yang tidak berat seperti kompos. Campuran kompos dan tanah atas (top soil) sangat disarankan. Di samping kompos boleh menjadi baja, ia juga bertindak sebagai media yang bagus untuk penanaman pokok kita seperti tanaman sayur. Ringan adalah kunci utama untuk penanaman dalam pasu.

6. Penyiraman

Terdapat dua sistem siraman iaitu automatik dan manual. Biasanya kita lebih senang untuk menggunakan sistem siraman manual iaitu dengan terus menyiram dari paip air ataupun tong siraman. Terdapat beberapa inovasi yang boleh kita gunakan untuk menyiram secara automatik. Jika ada duit lebih, boleh kita upgrade menggunakan sistem titisan berasaskan sistem fertigasi. Tetapi jika ingin jimat kos, guna sahaja siraman automatik menggunakan bahan terbuang.

Kesimpulan

Dengan mengetahui 6 perkara asas ini, anda tentunya sudah boleh mula berkebun dengan pasu di rumah. Jangan tunggu lama-lama untuk mula berkebun. Teruskan sahaja dengan apa ada di tangan.

Sumber Terbitan: Izham Alias/pensyarah agroteknologi kolej komuniti