Setiap orang Islam wajib menyakini tiada yang lebih baik untuk memohon apa yang kita hajati kecuali melalui doa memohon pada Allah. Tidak kira sama ada doa itu untuk keperluan di dunia mahupun kesenangan di akhirat kelak biasanya bacaan doa kita hampir sama iaitu memohon keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Namun, ada ketika kita berkehendakkan sesuatu yang melibatkan urusan di dunia di dalam doa kita berulang kali meminta semoga Allah perkenankan doa kita. Kita sedia maklum perancangan Allah itu lebih baik dari perancangan kita.
Ada yang Allah perkenankan doa hamba-Nya lebih awal bukan kerana berapa banyak kali doa itu diulang baca di dalam doa kita tetapi Allah lebih tahu bila masa terbaik kita mendapat apa yang kita doakan.
Ada juga doa yang kita pohonkan bertahun-tahun namun masih belum ada yang di perkenankan Allah. Tidak dapat dinafikan mungkin ada perasaan kecewa tambahan pula doa itu mungkin perkara-perkara yang baik melibatkan urusan agama.
Allah lebih mengetahui masa terbaik ataupun kita akan diberikan sesuatu yang lebih baik dari apa yang kita pinta di masa akan datang.
Disini kami kongsikan satu kisah di mana menjawap beberapa perkara yang menyebabkan doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah.
Ketika Ibrahim Bin Adham, seorang ahli sufi berada ditengah-tengah pasar Basrah, beliau dikerumuni oleh orang ramai.
Antara mereka ada yang bertanya, "Mengapakah doa kami tidak dimakbulkan oleh Allah, sedangkan kami bermohon kepada-Nya?
Ibrahim menjawab, "Kerana hati mereka buta disebabkan 10 perkara."
1. Doa dari mereka yang mengaku mengenali Allah, akan tetapi tidak melakukan segala suruhan-Nya.
2. Mengasihi Rasulullah, tetapi tidak mengikuti sunnahnya.
3. Sering membaca Al-Qur'an, tetapi tidak menjadikan Al-Qur'an sebagai panduan hidup.
4. Langsung tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.
5. Memusuhi syaitan, tetapi langsung tidak menentangnya.
6. Mengakui kewujudan syurga di alam akhirat, tetapi tidak beramal untuk ke syurga.
7. Mengakui kewujudan neraka di alam akhirat, tetapi tidak cuba menjauhkan diri dari masuk ke dalamnya.
8. Mengakui mati itu pasti kepada semua makhluk, tetapi tidak cuba untuk menjauhkan diri dari masuk ke dalamnya.
9. Sibuk dengan keaiban orang lain, tetapi sering lupa dengan keaiban sendiri.
10. Mengebumikan mayat saudara Islam, tetapi tidak mengambil iktibar daripada kematian mereka.
Semoga kisah ini menjadi teladan buat kita dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dan muhasabah diri sendiri.