Daun sirih memiliki kandungan nutrisi yang amat baik untuk tubuh, malah nutrisi itu menjadi faktor pendorong kepada tubuh badan untuk bekerja lebih baik.

Ada dua jenis daun sirih iaitu sirih hijau dan merah, namun lebih ramai yang mengenali daun sirih hijau. Daun sirih mengandungi eugonol yang bersifat antifungus, juga mengandungi antiseptik yang boleh menghalang pembiakan bakteria pada kulit.

Berikut antara manfaat sirih:

Ari-ari Pedih

Ambil sirih bertemu urat, sebiji bauh pala dibenamkan ke dalam abu panas, sebiji pinang yang telah dibelah tiga bahagian serta disapu dengan kapur dan makan pada sebelah pagi, tengahari dan petang. Amalkan selama tiga hari berturut-turut.

Asma

Tujuh helai daun sirih ditumbuk lumat bersama satu sudu teh lada putih dan campurkan minyak kayu putih secukupnya agar menjadi pepesan. Sapukan pada dada pesakit serta leher, amalan ini akan menghilangkan penyakit asma.

Barah

Tiga helai daun sirih bertemu urat dihancurkan lumat berserta kapur sirih sebesar ibu jari kaki dan sesudu makan madu lebah untuk menjadi pepesan. Sapukan tiga kali sehari dibahagian yang sakit.

Batuk Lelah

Daun sirih dilayur dan dituam ke dada pesakit. Air daun sirih diguna untuk minuman kepada pesakit.

Bau Badan

Sapukan adunan tiga helai daun sirih dan sedikit tawas yang telah diramas sama, ke atas badan dan ketiak semasa mandi. Biarkan beberapa ketika dan bilas dengan air bersih.

Bau Mayat

Untuk menghilangkan bau mayat yang melekat pada tangan atau baju setelah menyelesaikan kerja-kerja mandi mayat, ambil beberapa helai daun sirih, ramaskan dan rendamkan bersama baju beberapa ketika sebelum dibilas dengan air bersih.

Bayi Selsema

Beberapa tangkai daun sirih tekan dengan jari hingga mengeluarkan lendirnya, kemudian sapukan pada batang hidung bayi. Cara ini akan melegakan selsema dan pernafasan menjadi mudah.

Berak Darah

Akar korma, gambir dan jintan putih dimakan dengan sirih pinang.

Deman

Tujuh helai daun sirih, kemenyan sebesar ibu jari dan tiga ulas bawang merah. Giling halus dan tampalkan di dahi. Lakukan dua kali sehari, cara ini bagi menghilangkan demam dan sakit kepala selepas bersalin.

Demam Panas

Tiga helai daun sirih diramas ke dalam semangkuh air bersih bersama buah pinang muda yang telah dipecah-pecahkan dan jaramkan pada kepala, lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.

Gatal Vagina

Tujuh helai daun sirih direbus dengan dua gelas air, campurkan sedikit asam jawa hingga mendidih. Setelah air menjadi suam bolehlah membasuhnya. Lakukan setiap hari hingga sembuh, terutama untuk ibu-ibu yang baru lepas bersalin.

Gegata

Layurkan daun sirih di atas bara api dan sapukan pada badan yang ditumbuhi gegata. Rasa miang dan gatal akan hilang dengan segera.

Hidung Berdarah

Daun sirih digulung sebesar jari kelingking serta diramas sedikit dibahagian hujungnya untuk mengeluarkan bau dan dimasukkan kehidung yang berdarah. Baringkan pesakit dengan keadaan kepala meninggi.

Kencing Sakit

Sekiranya kencing berasa sakit, daun pepesan, sirih bertemu urat, daun pulasari dan bawang merah sebiji dan digiling lumat serta sapukan pada ari-ari dan bahagian pinggang.

Keputihan

Mandi dengan air suam rebusan daun sirih selama tujuh hari untuk membersihkan vagina, rasa gatal dan keputihan akan hilang. Amalan memakan daun sirih setiap hari juga boleh mengelakkan dari masalah keputihan.

Kutu Babi

Petik daun sirih bersama tangkainya. dan titiskan getah sirih ke atas kutu babi yang melekat pada kulit tubuh. ianya akan menjadi senang untuk dicabut.

Lompangan (ulcer)

Tempelan (pasta) dari ramuan sirih pinang ditepekkan pada luka untuk menyembuhkan luka dengan cepat pada bibir mulut.

Muntah

Bawang merah, jintan hitam, makan dengan sirih pinang dan semburkan sepahnya dileher dan dadanya

Menegangkan Payudara

Untuk menegangkan lagi payu dara, layurkan daun sirih yang telah disapukan dengan minyak zaitun di atas api yang sederhana, atau menggunakan lilin. Apabila daun telah terasa suam dan agak layu, lalu tekapkannya ke atas kedua-dua payu dara dan biarkan seketika. Lakukan dua atau tiga kali seminggu.

Pedih Perut

Lada sulah tujuh butir dan bacakan surah al-Ikhlas tiga kali serta makan dengan sirih pinang serta semburkan sepahnya pada ulu hati.

Penyakit Kelamin

Sepah sirih dihasilkan samada secara kunyahan atau ditumbuk lumat dan disapukan pada bahagian yang sakit. Giling lumat daun sirih, sedikit gula merah dan sedikit garam rebuskan hingga sebati, minum airnya sebanyak tiga kali sehari hingga sembuh.

Ruam Peluh

Rebuskan beberapa helai daun sirih dan tapiskan airnya. Sapukan air rebusan ke atas ruam dua kali sehari selama tiga hari berturut-turut.

Sakit Gigi

Kunyah sepiak sirih hingga lumat pada gigi yang sakit. Untuk beberapa ketika sakit gigi akan berkurangan.

Sakit Hati

Bawang putih sepuluh ulas, garam jantan sebuku, sedikit jemuju dan sehelai daun sirih bertemu urat. Tumbuk lumat ramuan tersebut dan bubuhkan air panas sebelum diminum. Amalkan selama tiga pagi, dan ambil segengam garam serta goreng sangan (goreng tanpa minyak), bungkuskan ke dalam kain bersih serta tuamkan kebahagian hati di atas dada.

Sakit Jantung

Untuk meredakan sakit jantung, renekkan tiga helai daun sirih bertemu urat berserta lada ekor dan minum airnya ketika masih suam. Lakukan selama tujuh hari berturut-turut diwaktu pagi.

Sakit Kepala

Daun sirih diramas kedalam air sejuk serta dimasukkan seketul garam jantan untuk di buat jaram (disapu atau dititik sehingga membasahi kulit kepala).

Sakit Mata

Ramaskan beberapa helai daun sirih muda dan masukkan kedalam air serta didihkan seketika, tapiskan dengan kain bersih ke dalam mangkuk dan biarkan hingga pesam-pesam kuku. Rendamkan mata yang sakit serta kelip-kelipkannya. Buat berulang kali sehingga sembuh.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.