Sedapnya donut kampung. Donut versi basic dan disalut gula. Tapi teksturnya lembut dan gebu. Sekali makan, memang rasa tak puas. Bagi puan-puan yang rasa nak makan donut macam yang biasa nikmati masa zaman kecil dulu, resipi yang dikongsi oleh saudari Ina Bakeri ni antara yang terbaik boleh dicuba.

Malah doh ni juga boleh digunakan untuk buat pau goreng atau pau Malaysia. Memang terbaik! Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.

CARA BUAT DONUT KAMPUNG LEMBUT, GEBU & TANPA TELUR

BAHAN A:

  • 2 1/2 cawan air suam
  • 2 paket yis mauripan
  • 5 sudu makan gula
  • 5 sudu makan susu pekat

BAHAN B:

  • 1 kg tepung gandum ( Puan Ina guna tepung cap sauh)
  • 5 sudu makan marjerin (Puan Ina guna cap pelangi)
  • 4 sudu teh baking powder
  • 2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

1. Campurkan bahan A dalam satu bekas. Kacau untuk sebatikan dan biar kembang seperti dalam gambar.

2. Sementara menunggu larutan yis kembang, satukan bahan-bahan B dan gaul sebati.

3. Masukkan larutan yis yang telah kembang tadi ke dalam tepung. Uli dalam 5-10 minit hingga kulit doh licin dan cantik. Tak nak uli pun tak mengapa. Tapi jika nak donut lebih gebu, ulilah sekejap. Tutup doh dan biarkan 30 minit.

4. Bila doh mengembang 2 kali ganda, tumbuk doh untuk keluarkan angin.

5. Tabur sedikit tepung pada bahagian atas dan bawah doh. Canai dan terap guna acuan donut. Jika tiada acuan dan nak cepat, boleh bulatkan guna tangan sahaja lebih nampak macam donut kampung.

6. Bila dah siap, panaskan kuali dan goreng donut tadi dalam minyak yang banyak menggunakan api perlahan.

7. Jika buat donut untuk frozen, goreng sekejap sahaja untuk mtikan yis. Bila kuih nampak sedikit kuning, angkat dan sejukkan atas dulang.

8. Donut siap untuk disejukbekukan. Pastikan betul-betul sejuk sebelum dimasukkan ke dalam plastik.

9. Beginilah rupa donut kampung dari dalam. Ada rongga-rongga halus. Memang gebu. Selamat mencuba!


Sumber: Ina Bakeri