Walaupun nampak mudah, tapi sebenarnya serai ni susah juga nak hidup tau!

Perkongsian Che Rokiah Che Hat ini akan menunjukkan dan mengajarkan anda cara yang betul untuk menanam serai di rumah dengan mudah.

Jom tengok caranya!

Cara Tanam Serai Di Rumah Dengan Mudah

Tanaman serai mungkin bukan antara favourite kepada orang ramai atau suri rumah, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai kawasan yang luas untuk menanam serai.

Tapi tahukah anda, sebenarnya serai juga boleh ditanam di dalam pasu ataupun polibeg dengan kaedah yang betul.

Berikut dikongsikan langkahnya dari awal.

Langkah Penyediaan Tapak Yang Sesuai

Tapak atau kawasan tanaman perlu disediakan sebelum anak benih disemai.

Bagi tanaman serai, tanah yang sesuai digunakan ialah tanah gambut, tanah merah dan tanah berpasir.

Bagi mereka yang tidak mengenali jenis tanah, disarankan untuk menggunakan campuran beberapa jenis tanah agar tanah yang digunakan adalah sesuai iaitu tidak terlalu padat dan tidak terlalu berpasir.

Perkara penting mengenai tanah ialah keupayaan tanah tersebut untuk menyimpan nutrien dan juga merangsang pertumbuhan akar.

Jika tanah terlalu padat, akar akan mempunyai kesukaran untuk bergerak, manakala tanah yang terlalu berpasir sukar untuk memegang nutrien dan pokok akan kekurangan nutrien sekiranya tanah tidak dapat menyimpan kandungan nutrien yang ada.

Bagi tanaman serai di dalam pasu dan polibeg, adalah disarankan supaya saiz pasu dan polibeg adalah besar kerana saiz pokok serai yang besar dan mempunyai banyak batang apabila matang.

Penggunakan pasu atau polibeg yang kecil akan menyebabkan akar terbantut dan pokok akan mengalami kekurangan nutrien. Kekurangan nutrien pula menyebabkan pokok tidak subur.

Langkah Penyediaan Anak Benih (Boleh Guna Batang Yang Dibeli Dari Kedai)

Anak benih boleh didapati di kedai ataupun dari pokok serai sedia ada.

Jika dari pokok, ambil bersama akar dan potong bahagian atas dahan. Benih yang mempunyai akar boleh terus ditanam di tanah.

Benih yang dibeli dari kedai pula perlu direndam dahulu beberapa hari sehingga ada akar yang keluar.

Ada juga cara di mana serai dipotong sehingga berukuran 1 atau 2 inci dan direndam sehingga akar mula keluar.

Anda boleh mencuba mana-mana cara yang terbaik.

Ini contoh batang serai yang saya nak rendam dalam air.

Bubuh dalam botol macam dalam gambar.

Nampak akarnya mula tumbuh di situ.

Cara Tanam Benih Serai dengan Betul

Perkara yang perlu dititikberatkan juga ialah cara menanam benih serai. Kaedah yang salah akan menyebabkan anak benih mati.

Cara yang boleh digunakan ialah menanam anak benih hanya sedalam 1 inci di mana hanya menanam bahagian yang berdekatan akar sahaja.

Adalah tidak digalakkan untuk menanam keseluruan batang kerana cara ini akan menyebabkan anak benih sukar untuk keluar tunas di benih serai.

Pokok serai boleh ditanam setelah anak benih telah bertunas ataupun melalui benih yang telah mempunyai akar.

Benih serai ditanam sebanyak tiga batang setiap lubang dalam barisan dengan jarak 2 kaki x 3 kaki ataupun setiap 3batang didalam pasu dan polybag.

Jarak ini sesuai bagi memudahkan kerja-kerja menuai.

Anak pokok serai mula membiak setelah 2 minggu ditanam.

Cara Penjagaan / Pembajaan

Pembajaan pokok serai boleh dilakukan beberapa minggu setelah ditanam dengan menabur baja organik.

Setelah itu, boleh dibaja dengan baja NPK Hijau iaitu baja 15:15:15 ataupun baja 16:16:16 pada peringkat umur 1, 2 , 3 dan 4 bulan.

Cara membaja ialah dengan menabur sedikit baja di sekeliling pokok.

Tempoh Matang

Serai matang setelah berumur 7 hingga 8 bulan dengan purata pertumbuhan sebanyak 70-80 batang serai dalam satu rumpun.

Untuk mengutip hasil, serai dipotong menggunakan pisau.

Kemudian serai dibersihkan dengan menggunakan parang atau pisau untuk memotong akar dan daun serai.

Taklah Susah Sangat Kan?

Penanaman serai tidaklah terlalu merumitkan kerana tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Maka, amat disarankan bagi surirumah untuk menanam serai di kawasan rumah supaya mudah di ambil dan untuk kegunaan dalam masakan dirumah.

Selamat mencuba.

Sumber: Che Rokiah Che Hat