Ini Perkara Penting Yang Perlu Ambil Tahu Sebelum Beli Kereta Pertama


Perlu kenal pasti apa tujuan anda membeli kereta tersebut. Jika kereta yang bakal dibeli merupakan kegunaan harian ke tempat kerja atau mencari wang, itu merupakan satu keperluan namun biarlah berpada-pada dengan kemampuan.

Formula bank dalam meneliti kelulusan pinjaman adalah dengan mengira ansuran kereta tidak melebihi 1 per 3 gaji bersih. Jika gaji anda RM2000, menurut perkiraan bank, anda mampu untuk membeli kereta dengan bayaran ansuran bulanan sekitar RM650 sebulan sahaja. Pendam terlebih dahulu keinginan untuk memiliki kereta yang lebih mahal kerana ianya bakal membuatkan kewangan anda tersepit!

Promosi menarik

Kebiasaannya pengeluar kereta akan menawarkan pelbagai diskaun menarik sepanjang tahun bagi menarik perhatian bakal pembeli. Sejujurnya, promosi paling menarik ialah pada musim perayaan! Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Malaysia Automotive Association (MAA), jumlah jualan kenderaan meningkat sebanyak 28% pada Jun 2018. Antara faktor utama kepada peningkatan ini ialah promosi menarik semasa musim perayaan dan cukai GST yang diturunkan pada kadar kosong.

Jadi, jangan tergesa-gesa ketika membuat pembelian kereta. Ambil masa untuk survey promosi menarik seperti rebat tunai dan diskaun daripada semua pengeluar kereta tempatan mahupun antarabangsa. Jangan lupa tanya jurujual korang, apa hadiah yang mereka tawarkan jika korang bercadang untuk beli kereta dengan mereka.

Yang penting jimat minyak

Jika kereta tersebut digunakan untuk kegunaan harian ke tempat kerja, faktor jimat minyak ini memang wajib diambil kira! Jika dilihat, kebanyakan pengeluar kereta hari ini mengutamakan dan membangunkan enjin yang jimat minyak dan cekap tenaga. Malah ianya digunakan sebagai unique selling point (USP) bagi mempengaruhi bakal pembeli.

Sebagai contoh, anggaran penggunaan minyak bagi model Perodua Myvi 2018 (1.3L) ialah 21.1km bagi setiap liter. Setiap model mempunyai kadar penjimatan minyak yang berbeza. Namun perlu diingat, kadar penjimatan minyak ini juga dipengaruhi oleh faktor lain seperti pemanduan.

Banding reputasi jenama

Jangan terkejut, ramai pembeli membuat pertimbangan sebelum membeli kereta berdasarkan pengalaman peribadi, reputasi pengeluar kereta dan ulasan daripada pemilik kereta. Bagi memastikan kereta yang anda bakal beli itu nanti kurang bermasalah, buat survey menerusi bacaan ulasan-ulasan pemilik model kereta tersebut.

Ulasan-ulasan yang jujur dan tepat ini kebiasaannya boleh dibaca dan diperolehi menerusi ruangan forum, laman web seperti Carlist, group Facebook dan sebagainya. Anda pasti terkejut kerana wujud beberapa jenama yang sudah jauh kehadapan dan mampu menyaingi jenama gah lain. Rajin-rajin lah membaca ya!

Pandu uji

Selepas mengambil kira semua faktor di atas, luangkan masa untuk pandu uji kereta idaman anda. Pastikan anda berpuas hati dengan sesi pandu uji tersebut. Antara faktor yang perlu diambil kira ialah keselesaan, pemanduan, kecekapan, respon dan beberapa faktor lain.

Pendek kata wajib pergi test drive kerana anda akan menggunakan kenderaan tersebut pada satu tempoh yang sangat lama. Jangan malu untuk bertanya dengan lebih lanjut kepada salesman tentang model yang anda nak beli itu. Dah puas hati baru confirm beli! Penting juga untuk tahu apakah ciri-ciri keselamatan yang ada pada kereta tersebut seperti berapa jumlah airbag terpasang yang sedia ada dan berapa jumlah skor ASEAN NCAP.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.