Wanita Ini Kongsi Cara Mudah Buat Sosej Ayam Di Rumah Lebih Sihat


Anak-anak pasti takkan menolak bila ditawarkan makanan jejari seperti sosej dan nugget. Sedap memang sedap, tapi makanan segera dan yang berproses seperti ini bukanlah makanan yang sepatutnya dimakan selalu. Lebih-lebih lagi oleh anak kecil.

Bagi ibu-ibu yang ingin cuba mengawal pengambilan makanan berproses atau fast food ini, boleh cuba buat sendiri sosej di rumah. Mari ikuti cara buat sosej yang sangat mudah dan sedap oleh Puan Siti Jarina Zaidon ini. Yang pasti, lebih sihat daripada yang dibeli frozen di pasaraya.

Cara Buat Sosej Ayam Homemade Yang Lebih Sihat

Jom lihat cara buat sosej ayam homemade yang boleh anda buat di rumah. Senang sangat! Apapun, kita tengok dulu bahannya.

Bahan-bahan:

  • 1 kg Isi Ayam
  • 1 1/2 sudu teh garam
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/2 sudu teh lada sulah
  • 1/2 sudu teh thyme
  • 1/2 sudu teh oregano
  • 1 tangkai cili kering (nak pedas letak lebih, yang serbuk pun boleh )
  • 1 gelas air / stok ayam

*Boleh tambah / tukar bahan ikut kreativiti masing-masing.

Cara-cara:

Berikut adalah cara buat sosej langkah demi langkah.

1. Kisar Bahan

Mula-mula, satukan semua bahan kisarkan dalam blender sehingga halus dan sebati.

2. Masukkan Dalam Piping Bag / Plastik

Kemudian, masukkan bahan yang dikisar tadi ke dalam piping bag. Kalau tak ada piping bag, boleh gunakan beg plastik biasa dan gunting di hujungnya.

3. Picitkan Atas Plastic Wrap

Bila dah masukkan, sediakan cling film / plastic wrap untuk kita picitkan bahan kisar tadi ke atasnya. Cling film ini adalah sejenis plastic wrap jenis yang nipis. Macam yang digunakan untuk balut sandwich. Biasanya orang guna untuk tutup makanan yang belum dihidangkan juga guna cling film ini.

Picitkan memanjang seperti dalam gambar di bawah ini.

4. Gulungkan

Seterusnya, gulung kemas, pusingkan hujung plastic wrap tadi hingga ketat dan padat. Ikat kuat kanan dan kiri.

Beginilah rupanya bila dah siap gulung.

*Ada lagi satu cara, boleh guna plastik aiskrim Malaysia. Picitkan terus ke dalam plastik itu, tak payah gulung-gulung lagi. Ikut keselesaan andalah ya.

5. Rebus 10 Minit

Didihkan air, rebus dalam 10 minit. Angkat dan rendam dalam air ais sebentar.

Tos dan buka balutan plastic wrap tadi.

6. Dah Boleh Goreng

Sekarang, dah ada sosej buatan sendiri. Bolehlah di goreng atau pan fried. Boleh juga buat sekali banyak untuk dijadikan stok simpanan beku. Tak payah lagi beli di pasaraya selepas ini!

Selamat mencuba.

Sumber: Puan Siti Zarina Jaidon