Wanita Ini Kongsi Resepi Mudah Donut Tanpa Uli Gebu Dan Lembut Memang Sedap


Setelah percubaan demi percubaan, inilah resepi donut yang berjaya dihasilkan oleh Puan Nurul Azfa Azizan atau lebih mesra dengan panggilan Kak Nurul. Katanya, resepi ini menghasilkan teksturnya donut yang sangat lembut ‘seperti pipi baby yang bam bam’. Walaupun digoreng waktu petang, malamnya pun masih lembut dan boleh dimakan keesokan paginya.

Yang paling best, resepi ini tak perlukan anda untuk menguli. Simple sangat, insha Allah bagi yang kurang mahir pun boleh buat dan menjadi.

Jom kita tengok resepi beliau ini selengkapnya.

Resepi Donut Tanpa Uli, Tapi Lembut Sampai Ke Pagi

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 1 paket yis
  • 2 sudu susu pekat
  • 1 cawan air suam
  • 2 sudu gula
  • 4 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • 2 sudu marjerin
  • 1 sudu teh garam

Cara-cara

Ini pula adalah langkah membuatnya.

1. Satukan Bahan Basah

Mula-mula, masukkan semua bahan basah iaitu air suam, yis, susu, dan gula ke dalam sebuah bekas.

Tunggu sehingga kembang. Sementara nak kembang boleh buat bahan kering.

2. Satukan Bahan Kering

Di dalam sebuah bekas yang lain, satukan pula bahan kering iaitu merjerin, tepung, garam, dan baking powder.

Ramas hingga sebati.

3. Campurkan Bahan Kering & Bahan Basah

Kemudian masukkan bancuhan bahan basah (yis yang telah kembang) dalam bancuhan bahan kering (tepung). Gaul rata dan tutupkan adunan.

Nak tutup dengan plastic wrap pun boleh. Kak Nurul tutup dengan kain.

4. Tunggu 1 Jam

Biarkan adunan tadi selama 1 jam.

Lepas 1 jam, tengok adunan dah naik dua kali ganda. Sekarang dah bolehlah canai dan terap.

5. Bentukkan Donut

Terapkan comel-comel. Acuan Kak Nurul ntah hilang mana, jadi terpaksalah menggunakan jari-jemari yang lembut ni untuk menjadikan rupa donut.

6. Gorengkan

Bila dah siap, gorengkan dalam minyak panas.

Inilah hasil gorengan penuh kasih sayang! Nampak tak kegebuan di situ?

7. Salut Gula

Akhir sekali, salutlah gula yang dikisar atau gunakan terus gula halus / gula kastor.

Nak bubuh topping lain macam coklat ke, boleh je. Ikut suka hati tekak masing-masinglah ya.

Selamat Mencuba

Sumber: Puan Nurul Azfa Azizan