Inti Penuh Resipi Cucur Badak Yang Lembut Dan Gebu


Sangat sesuai dijadikan sebagai hidangan sarapan pagi atau minum petang. Untuk menyediakan kuih ini, pastikan anda menggunakan ubi keledek yang berwarna oren atau ungu kerana ubi tersebut mempunyai rasa yang manis walaupun hanya direbus.

Resipi cucur badak inti padat ini adalah sejenis kuih tradisional yang amat popular di kalangan masyarakat Melayu. Kuih ini menggunakan ubi keledek sebagai bahan utamanya dan diisi dengan inti kelapa yang dimasak dengan sedikit rasa pedas seperti kerisik.

Pada bulan Ramadan, kuih ini sering menjadi pilihan sebagai hidangan berbuka puasa. Biasanya, ia boleh didapati di gerai-gerai yang menjual sarapan pagi dan minum petang, serta di pasar malam dan gerai tepi jalan.

Untuk memastikan kelazatan cucur badak kekal lembut dan gebu, pastikan anda menggunakan kelapa segar sebagai inti kuih. Tanpa membuang masa, mari ikuti perkongsian resipi dari Cik Puan Zaleha Kakleha melalui laman Facebooknya.

RESIPI CUCUR BADAK INTI PADAT

Bahan kulit:

  • Sekilo keledek
  • 2 cawan tepung gandum

Bahan inti:

  • 14 tangkai cili kering
  • Sebiji kelapa (diparut)
  • 2 batang serai
  • 4 sudu udang kering
  • 2 sudu jintan manis
  • Sedikit minyak
  • Garam
  • Gula

Cara-cara penyediaan:

Kulit:

  • Rebus keledek dengan sedikit garam.
  • Lenyek dan campurkan dengan 2 cawan tepung sehingga menjadi doh.

Inti:

1. Rebus dulu cili kering, serai, udang kering, jintan manis. Kemudian, blend hancur semua bahan.

2. Tumis bahan blend sampai naik bau.

3. Masukkan kelapa, gula dan garam. Masak sampai kering inti tapi jangan kering sangat nanti tak sedap.

Cara masukkan inti dalam kulit cucur badak:

Adunan keledek tadi dijadikan bulat, canaikan dan masukkan inti. Leperkan dan buat sampai adunan habis. Kemudian goreng. Siap goreng dan boleh dimakan.

Kuih ini amat sedap apabila dimakan dalam keadaan panas. Selamat mencuba.

Sumber: Zaleha Kakleha