Resepi Getuk Ubi Kayu Gebu Di Dalam Rangup Di Luar


Kuih tradisional ini semakin sukar ditemui, lebih-lebih lagi di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Pasti ramai suka makan ubi getuk yang lemak manis, rangup di luar dan lembut di dalam ini.

Jadi, apa kata kita buat sendiri getuk ubi kayu di rumah. Caranya mudah sahaja, hanya perlukan ubi kayu dan beberapa bahan mudah yang lain. Lihat resepi penuh di bawah!

Bahan-bahan:

  • 3 biji ubi kayu besar (kalau kecil ambil 6 biji)
  • 1 biji kelapa parut putih
  • 1/2 cawan gula
  • 1 sdk garam
  • 1 cawan tepung beras (cap gajah)
  • 1 biji telur
  • 1 sdk serbuk kunyit
  • 1 sdk garam
  • 2 sdb air kapur
  • Sedikit air

Cara-cara:

1. Rebus ubi kayu sehingga lembut. Tutup api, tapiskan airnya dan biarkan ubi sejuk.

2. Lenyekkan ubi sehingga hancur dan buang uratnya.

3. Masukkan sedikit garam, gula dan kelapa parut putih. Gaul rata.

4. Setelah sebati, bentukkan adunan ubi menjadi bebola.

5. Untuk kulitnya, campurkan tepung beras, serbuk kunyit, garam, telur yang telah dipukul kembang, air kapur dan sedikit air dalam satu bekas. Pastikan adunan tidak terlalu cair atau pekat.

6. Panaskan minyak dengan api sederhana. Celupkan bebola ubi ke dalam adunan tepung dan goreng dalam minyak panas.

Setelah masak, angkat dan hidangkan.

Selamat menjamu selera!

Sumber: Norhazlin Zakaria