Resepi Sambal Udang Petai Bonda Memang Bertambah Nasi


Nor Farah Atika telah kongsikan cara-cara memasak Sambal Udang Petai yang mudah di Facebook bersama bahan rahsia supaya hidangan ini menjadi ekstra sedap. Jom kita cuba!

Di Malaysia, hidangan ini telah menjadi salah satu lauk pilihan di kedai makan nasi campur yang sering laku keras kerana kombinasi udang dan petai memang terbaik di dalam sambal.

Bahan-bahan:

  • Udang
  • Serbuk kunyit
  • Minyak masak
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • 1 senduk cili kisar (nak pedas, letak lebih)
  • ½ sudu asam jawa
  • Gula nisan
  • Petai
  • Garam
  • Serbuk cukup rasa

Cara-cara memasak:

1. Mula-mula, lumur udang dengan garam dan kunyit, kemudian goreng separuh masak dalam 2 minit, angkat dan ketepikan dahulu.

2. Selepas itu, kisar halus bawang merah dan bawang putih (lebihkan bawang merah supaya sambal jadi pekat).

3. Seterusnya, masukkan bahan kisar ke dalam minyak goreng udang tadi (kena lebihkan minyak jika nak sambal jadi sedap dan cantik kejadiannya).

4. Masukkan cili kisar (jangan risau jika warna tak merah semasa mula menumis), asam jawa dan gula nisan (rahsia sambal warna cantik, pekat dan ekstra sedap).

5. Letakkan garam atau serbuk cukup rasa mengikut citarasa masing-masing.

6. Selepas kelihatan sudah masak, boleh masukkan udang yang telah digoreng separuh masak tadi dan campakkan petai secukupnya. Siap!

Tak ramai suka makan petai tapi apabila dimasukkan bersama sambal, aromanya cukup terasa nikmat. Apabila makan sekali, sampai esok masih teringat kesedapannya.

Selain dimasak dalam minyak yang banyak dan ditumis sehingga pecah minyak, anda boleh dapatkan hasil Udang Sambal Petai yang sedap dengan memasukkan sedikit gula nisan di dalamnya.

Selamat mencuba.

Sumber: Nor Farah Atika