Resepi Asam Pedas Ikan Tenggiri Sedap, Kuah Pekat & Pedas


Asam Pedas Ikan Tenggiri merupakan hidangan tradisional yang digemari ramai kerana rasanya pedas, masam dan menyelerakan. Kuahnya yang pekat dengan rempah ratus menaikkan selera. Resepi ini mudah dimasak di rumah, sesuai untuk hidangan keluarga dan makan tengah hari.

Bahan serbuk/tumbuk:

  • 1/2 sudu kecil ketumbar
  • 1/2 sudu kecil jintan putih
  • 1/2 sudu kecil lada hitam (ditumbuk kasar lagi sedap)
  • 1 sudu teh halba

Bahan kisar:

  • 2 labu bawang besar (bergantung saiz)
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 inci belacan bakar (kisar atau tumbuk)
  • 1 inci halia
  • 2 inci kunyit
  • 2 helai daun limau purut
  • 1 senduk/mangkuk kecil cili kering kisar berasingan (boleh kurangkan)

Bahan lain:

  • 1 senduk besar minyak
  • 2 batang serai dititik
  • 2 helai daun limau purut
  • 1 ikat daun kesum
  • 5 biji bendi muda
  • 2 biji tomato (dipotong dua atau empat)
  • 1/3 cawan jus asam jawa (ikut selera sendiri)
  • 1 cawan air

Cara-cara:

1. Panaskan minyak, taburkan halba, biarkan sebentar dengan api perlahan hingga naik bau, kemudian masukkan bahan kisar. Setelah timbul minyak,masukkan cili dan biarkan sehingga pecah minyak.

2. Masukkan serai dan daun limau purut, gaul sebati hingga mesra dan wangi.

3. Masukkan air asam jawa dan air,separuh daripada daun kesum dan bunga kantan. Paras air cukup setakat ikan tenggelam sedikit.

4. Bila kuah sudah mendidih, masukkan ikan.Masak dengan api perlahan. Siram-siramkan ikan dengan kuah (Ikan tak perlu dibalik-balikkan). Bila ikan dah masak, kuah dah mendidih bolehlah dimasukkan bendi.

5. Akhir sekali, bila bendi dah lembut, kuah mulai pekat (masak dalam 15-20 minit dengan api perlahan) masukkan separuh lagi daun kesum bersama tomato.

Tutup api dan biarkan sebentar dalam 15 minit,kuah akan bertambah pekat dan cantik berbanding jika terus dihidangkan/dimakan. Biarkan segala aroma dan rencah meresap ke dalam kuah barulah lebih sedap untuk dinikmati.

Sumber: Muhamad Muktamin Abdul karim