Mata Ketumbit Sebab Intai Orang Mandi?

 Add Me  Follow Me  Follow Me  Follow Me



Mata ketumbit sering dikaitkan dengan aktiviti mengintai orang mandi atau membuang air besar. Masa kecil dahulu, siapa yang kena ketumbit, mesti kena usik "Haaa mengintai siapa mandi atau buang air besar ni?"

Sebenarnya, KETUMBIT terjadi apabila bukaan kelenjar air mata dari akar bulu mata tersumbat. Oleh itu, mengatakan ketumbit terjadi kerana mengintai orang mandi hanya mitos semata-mata.

Ketumbit boleh menyebabkan gejala seperti:

- Sakit pada kelopak mata

- Mata rasa seperti berbiji

- Merah atau bengkak pada kelopak mata.

Komplikasi

Lazimnya, ketumbit akan hilang sendiri dalam beberapa hari tanpa memerlukan rawatan. Namun, sesetengah individu kemungkinan mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya jangkitan tersebut merebak ke bahagian lain kelopak mata.

Apabila perkara ini berlaku, ia akan menyebabkan preseptal cellulitis - suatu keadaan yang menyebabkan kesakitan dan bengkak pada kelopak mata.

Selalunya, ketumbit adalah kecil dan lazimnya tidak menyebabkan gangguan yang teruk. Maka, ia boleh dirawat di rumah dengan cara dituam beberapa kali sehari.

Bagaimanapun, sekiranya tidak pulih selepas dituam, rawatan antibiotik dalam bentuk sapuan mata mungkin diperlukan, manakala dalam kes lain yang lebih kritikal pembedahan kecil akan dilakukan sebagai salah satu kaedah rawatan.

Cara-cara melakukan tuaman

1. Ambil sehelai sapu tangan kecil yang bersih. Rendam dalam air suam

2. Perah hingga tidak menitis

3. Letakkan di atas kelopak mata dengan mata tertutup

*Lakukan selama 10 minit dan ulang 2-3 kali sehari sehingga pulih.

Bagi mencegah ketumbit, kita perlu selalu membersihkan bulu mata untuk mengelakkan jangkitan kecil pada bulu mata (blepharitis). Berikut adalah cara membersihkan bulu mata.

1. Ambil cawan / bekas kecil

2. Letakkan 1 sudu  air bersih

3. Campurkan 5 titis syampu bayi dan kacau

4. Celup putik kapas ke dalam campuran tadi

5. Kesat bahagian kelopak mata yang mempunyai bulu mata secara lembut dengan putik kapas tersebut.

(Awas: Elakkan dari terkena bahagian kornea)

Pesakit juga boleh menggunakan sudu yang telah direndam dengan air suam terlebih dahulu dan kemudian sudu diletakkan di bahagian ketumbit.

Jika keadaan berterusan, pesakit dinasihatkan mendapatkan rawatan dengan doktor. SEMOGA BERMANFAAT.

Sumber: CARI